Tuesday, April 26, 2011

Monday, April 25, 2011

Sabar menolak kemungkaran satu cabaran

Ahmad Baei Jaafar

Cabaran besar kepada umat Islam pada hari ini ialah menolak kemungkaran yang berada di hadapan mata. Semua itu memerlukan kesabaran yang jitu. Mungkin ramai yang boleh sabar dalam menempuh musibah yang melanda, tetapi mereka tidak boleh sabar untuk menahan rasa marah kepada orang yang menyebabkan musibah itu.

Hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah sahaja yang mampu sabar dalam semua keadaan kerana mereka mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas dirinya adalah kehendak Allah. Sesuatu yang sudah ditakdirkan tidak dapat dielak lagi. Demikian orang yang taat, tidak akan berasa susah untuk mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Tegasnya, orang yang mampu sabar itu adalah orang yang beriman. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah :177)

Persoalannya bagaimana cabaran ini harus dihadapi oleh umat Islam yang rata-ratanya belum begitu benar-benar beriman. Bagi menyelesaikan semua itu perhatikan pecahan sabar yang harus dimiliki oleh umat Islam.

1- Sabar (menahan) daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah.
2- Sabar dalam menghadapi musibah, lazimnya disebut sabar.
3- Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu.
4- Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut syaja’ah (berani).
5- Sabar dalam mengekang kemarahan. Sabar ini disebut lemah lembut (al-hilmu).
6- Sabar menyimpan rahsia. Sabar itu disebut katum.
7- Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan. Sabar ini disebut zuhud.

Antara tujuh sabar itu, dimanakah tahap anda? Kalau anda seorang lelaki yang diundang oleh seorang wanita ke rumahnya, mampukah anda menolaknya? Apabila anda berduaan tentu terdedah kepada keinginan seks, mampukah anda dan wanita itu mengekang nafsu masing-masing sedangkan peluang ke arah itu sudah terbuka luas? Inilah cabaran yang harus mereka lalui sebagai seorang muslim.

Percayalah jika anda dapat mengawal nafsu syahwat anda dan terus bertindak keluar dari rumah wanita tersebut, maka andalah lelaki yang sebenar-benar bersabar. Inilah lelaki yang dipelihara imannya dan inilah lelaki dijamin syurga. Begitu juga wanita tersebut jika dia mampu bertindak melindungi tubuhnya daripada disentuh lelaki, itulah wanita penyabar yang sudah pasti dijamin syurga.

Lelaki dan wanita dalam keadaan itu bukanlah calang-calang manusia kerana mereka boleh bersabar walaupun hati dan nafsu terlalu meruntun. Dengan kesabaran mereka itu maka layaklah mereka memasuki syurga Allah tanpa hisab.

Anda boleh menilai tahap sabar anda pada pecahan sabar di atas jika anda mahu. Tetapi ketahuilah tahap sabar ini sangat berkait dengan sejauh mana tinggi tahap iman anda. Imanlah yang menyebabkan anda boleh bersabar untuk menolak kemungkaran. Jadi, setiap orang Islam perlu memilki iman dan sabar pada tahap ini demi menghadapi cabaran masa kini.

Friday, April 22, 2011

Gerunlah Dan Takutlah Kepada Allah!

Maksiat merupakan kalimah yang senang disebut dan senang juga dilakukan oleh sesiapa sahaja yang tidak terasa gerun dan gentar dengan siksaan api neraka Allah. Bagi mereka yang imannya terlalu tipis sudah tentu tidak merasa takut kepada maksiat yang dilakukan, malah berbangga dengan apa yang mereka lakukan tanpa sedikit pun merasa malu dan segan terhadap tingkah laku mereka yang menyinggung kehendak Allah dan perasaan ummat yang takut dan gerun kepada Allah.


Hari ini pergilah ke mana sahaja, kita pasti akan dapati di sana ada mereka yang tanpa segan silu yang melakukan maksiat kepada Allah. Mengapa boleh terjadi begini sedangkan dalam masa yang sama tidak kurang juga mereka yang sentiasa menagih dan menanti rahmat Allah.Dalam kata lain, mereka yang sentiasa mendalami ilmu agama Allah sudah terlalu ramai? Soalnya di mana suara-suara mereka dalam menyatakan amar ma’ruf nahyu mungkar di antara satu sama lain? Tenggelamkah suara mereka? Atau hanyut dalam kemusnahan akhlak manusia?

Takut dan gerunlah kita semua daripada maksiat yang dilakukan di antara kita. Kita bimbang dan kita takut kepada azab yang ditimpa kepada kita semua yang diwaktu dicurahkan azab tersebut tidak lagi mengenali antara mereka yang melakukan dosa atau tidak. Renung sajalah kepada sabda junjungan kita: diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a, katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda , apabila Allah ingin menyeksa sesuatu kaum nescaya azabnya akan menimpa sesiapa sahaja yang berada dikalangan mereka. Kemudian mereka akan dibangkitkan mengikut amalan yang telah mereka lakukan.

Firman Allah:

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang setanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan, tiadalah bagi mereka pelindung dari (siksa) Allah, maka wajah mereka (hitam legam ) seolah-olah ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap gelita) dari malam yang gelap gelita. Mereka itulah ahli nereka , mereka kekal di dalamnya

(surah Yunus:27)

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri,kami perintahkan (terlebih dahulu ) orang yang melampau dengan kemewahan di kalangan mereka (supaya taat) , lalu mereka melakukan kedurhakaan di dalam (negeri) itu: maka sepantasnya negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya

(surah al-Isra’:16)

Takut dan gerunlah kita semua untuk berjumpa dengan hari yang tiada guna lagi harta benda, anak pinak, saudara mara mahu pun kemewahan yang sementara ini kecuali dengan berbekalkan amalan kita yang terlalu sedikit ini, ditambah dengan lumuran dosa yang penuh terpalit dan tercalit di tubuh badan kita. Mampukah kita mengharap syurga Allah yang terlalu tinggi nilainya,tidak mampu dibayar dengan seluruh dunia dan isinya? Sudah tentu kita semua tidak mampu untuk berbuat yang demikian….

Bertaubat dari dosa yang terlalu banyak masih belum terlambat, Malah Allah sentiasa menunggu teriak tangis tanda penyesalan dari hamba-Nya. Payahkah untuk kita menaut dan merapatkan jari jemari yang halus ini untuk kita memohon keampunan dari-Nya, susahkah kita untuk mengeluarkan suara merintih dan meminta pengampunan dari-Nya, bencikah kita untuk meninggalkn perangai dan sifat-sifat yang lalu untuk kita membina sifat-sifat yang terpuji di sisi-Nya?

Katakanlah (wahai Muhammad ) : Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan -perbuatan maksiat ), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkam segala dosa ; sesungguhnya Dialah jua yang maha pengampun lagi maha mengasihani

(surah Az-Zumar:53)

Rindulah kepada keampunan-Nya, tinggalkanlah maksiat yang dilakukan itu, marilah kembali kapada fitrah asal, matlamat kejadian kita. Gerun dan takutlah kepada azab yang disediakan oleh-Nya. Cukuplah dengan maksiat yang dilakukan itu untuk menjadikan kita semua semakin takut dan gerun kepada Allah.

Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland

Monday, April 18, 2011

Mengumpat dan gosip mana lebih besar bahaya?

AHMAD BAEI JAAFAR

Mengumpat seperti yang diperjelaskan sebelum ini adalah dosa besar dan dibenci Allah. Namun sebahagian masyarakat kita masih menjadikannya satu tabiat yang menyeronokkan. Hukum haram hanya dipandang kecil. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Jelas di sini, mereka yang terlibat dengan mengumpat ini tidak takut kepada Allah dan tidak takut kepada ancaman Allah. Hal ini kerana iman mereka kepada Allah terlalu tipis atau tiada iman, lalu sanggup melakukan apa sahaja.

Sebenarnya orang yang mengumpat ialah orang yang melanggar amanah dan menyalahgunakan kurniaan Allah iaitu lidah. Anggota lidah diberikan kepada manusia untuk membolehkan manusia merasai makanan, bercakap memberi nasihat dan melarang amalan yang keji. Tetapi sebaliknya manusia menggunakan lidah untuk mengumpat manusia lain.

Jika manusia sedar bahawa dengan mengumpat itu mereka telah melakukan dua dosa iaitu menjatuhkan maruah orang dan menyalahgunakan amanah Allah pasti mereka berfikir dua kali untuk mengumpat. Tetapi semua itu tidak pernah difikirkan oleh mereka.

Selain mengumpat, gosip adalah satu lagi bentuk dosa di alaf ini. Malah gelanggang gosip lebih luas kerana diterajui oleh media sama ada elektonik mahu media cetak. Sesuatu yang menjadi rahsia seseorang habis dibongkar kepada umum.

Ramai yang berminat untuk mengetahui gosip itu kerana dapat mengetahu rahsia orang. Sama ada cerita yang dibawa itu betul atau tidak, mereka tetap akan terimanya sebagai bahan berita malah ada yang sanggup memanjangkannya.

Sebenarnya dengan gosip ini tiada rahsia yang boleh disimpan lagi, semuanya akan terdedah secara pantas. Walaupun pihak yang teraniaya boleh membuat penafian tetapi penerima orang ramai masih tidak pasti. Begitulah bahayanya gosip.

Lazimnya artis digosipkan dengan cerita percintaan, pertunangan, perkahwinan, bercerai, dan pelbagai lagi yang semuanya diperoleh dari sumber yang tidak sahih. Kadang-kadang gosip ini dilakukan secara serkap jarang. Tetapi kesannya adalah sama, boleh menjatuhkan maruah artis berkenaan.

Tidak dinafikan ada juga gosip yang sengaja dicipta oleh ampunya diri sendiri bagi tujuan mempromosi dirinya. Gosip seperti ini tidak mungkin boleh menjatuhkan maruahnya kerana dia sendiri sudah bersedia dengan jawapannya bagi menaikkan imejnya semula.

Tetapi gosip yang dicipta oleh wartawan dan kemudiannya diperpanjangkan oleh orang ramai itu boleh mencemarkan maruah artis terbabit. Hal ini kerana berita yang dibawa itu berkemungkinan termasuk dalam mengumpat atau menyebar fitnah.

Orang politik juga tidak terlepas daripada digosip oleh wartawan. Kadang-kadang digosipkan dengan wujudnya perempuan simpanan, melakukan hubungan terlarang dengan setiausahanya atau bercerai.

Berdasarkan keterangan di atas, gosip dan mengumpat dibina atas tujuan atau niat untuk menjatuhkan maruah seseorang. Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa gosip adalah untuk menyedarkan artis atau ahli politik yang sombong, tetapi kesannya tetap memalukan.

Jadi, apa bezanya gosip dengan mengumpat dalam hal ini? Sepintas lalu kedua-duanya tiada beza, tetapi kadang-kadang gosip boleh jadi fitnah jika semua itu tidak betul. Berdasarkan kedudukan itu, maka gosip lebih bahaya daripada mengumpat.

Walau bagaimanapun mengumpat dalam keadaan tertentu boleh dimaafkan malah pada enam tempat berikut adalah diharuskan dalam Islam. Demikian seperti yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abul Samad Palimbangi, iaitu:

1. Menyebutkan kejahatan orang zalim kepada kadi supaya dihukumkannya dengan yang setimpal.

2. Menyatakan seseorang itu membuat kejahatan yang jelas buktinya berdasarkan perbuatan mungkarnya supaya dengan cara itu dia boleh meninggalkan perbuatan maksiatnya.

3. Oleh sebab hendak meminta fatwa daripada mufti dia mengadu tentang seseorang yang menzaliminya apakah hukumnya dan apakah jalan penyelesaian.

4. Bertindak untuk menakutkan orang yang berkemungkinan hendak bersahabat dengan orang fasik atau zalim.

5. Untuk memberi tahu tentang orang yang tidak dikenal namanya lalu dia menyebut sifatnya.

6. Menyebut kejahatan orang yang sudah masyhur dengan kejahatannya supaya orang lain tidak menjadi mangsanya.

Supaya lebih jelas perhatikan beberapa contoh berikut:

Seorang pemuda telah mengambil barang milik bapanya. Lelaki lain yang melihatnya segera ke pejabat polis dan tanpa berselindung menyebut perbuatan jahat pemuda itu. Menyebut kejahatan orang lain adalah mengumpat tetapi dalam hal ini, dibenarkan supaya dengan itu pemuda itu boleh ditangkap.

Begitu juga dengan seorang pemimpin yang sering melakukan tabiat buruk seperti merokok. Hendak tegur sikapnya, tiada siapa yang sanggup berhadapan dengannya. Maka tabiat buruknya disebut di hadapan umum dengan harapan apabila dia dengar boleh timbul kesedaran dan berubah.

Dalam contoh yang lain, seorang wanita pernah ditipu oleh seorang lelaki dan berjaya memperdaya perasaannya malah hampir dirogol. Pada suatu hari dia ternampak lelaki itu sedang berbual dengan seorang gadis lain. Demi menyelamatkan maruah gadis itu, dia menceritakan kejahatan lelaki itu dengan harapan gadis itu tidak terpedaya dan menjauhkannya. Pada dasarnya ia juga mengumpat tetapi dibenarkan.

Dalam kes yang lain, seorang lelaki atau wanita yang sudah masyhur dengan kejahatannya. Namanya sudah dikenali umum malah menjadi bualan orang ramai. Menyebut keburukannya tidak lagi dikira mengumpat.

Empat contoh ini lazim berlaku dalam masyarakat kini dan inilah yang dibenarkan dalam Islam. Maka selain senarai di atas, tetap dikategorikan sebagai mengumpat dan berdosa besar.

Saturday, April 16, 2011

Demi sesuap nasi


Gadai nyawa untuk dapat upah RM80 sehari

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)
***

DI depan pejabat saya di KL, terdapat sebuah bangunan besar enam tingkat sedang dinaik taraf – ada yang berkata pada bahagian atas akan disambung pembinaan, menambah tingkatnya. Sekarang ini di sekeliling bangunan dipasang kerangka besi (staging) bagi membolehkan kerja-kerja penambahan tingkat dilakukan.

Suatu petang yang panas terik sedang saya enak menikmati buah betik sejuk kesukaan saya di bawah pokok berhampiran bangunan itu, saya menyaksikan seorang anak muda kelam kabut menuruni kerangka besi itu. Dia menggelongsor batang besi dari kedudukan paling tinggi dan selepas sampai ke tanah, berlari ke bawah sebatang pokok, menyandarkan diri dan membuka topi keselamatannya.

Saya melihat tubuhnya bercucuran peluh, mukanya pucat. Dia mengambil nafas, dan selepas keadaan lega sedikit, saya menghampirinya, bertanya khabar. Saya mempelawa dia minum, dia menolak kerana dakwanya dia baru minum.

“Apa pasal?” tanya saya. “Saya mahu pengsan. Kalau saya tunggu atas sana, saya boleh jatuh dan mati,” katanya.

Saya mencapai sepotong betik dan menghulur kepadanya. “Saya belanja,” kata saya. Sambil dia mengunyah betik, saya pun bertanya akan keadaan dirinya.

Namanya Halidin, umurnya 21 tahun, berasal dari Jatim (Jawa Timur). “Beginilah pak, saya menyambung nyawa cari rezeki. Kami diberi tempoh sebulan memasang ‘staging’ di sekeliling bangunan ini. Ada tiga pekerja termasuk saya. Kerjanya berat pak, terutama hari panas macam sekarang ini.

“Berapa kamu dapat (upah) sehari?” Halidin memberitahu dia diberi RM80 sehari. Ada kerja ada upah, tak ada kerja tak ada upah. Waktu kerjanya adalah mulai jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang.

“Lumayankah pendapatan kamu?”

“Di sini bolehlah pak. Kalau kerja di kampung saya upahnya 300,000 rupiah sebulan. Ini bersamaan RM100 kerana 1 juta rupiah itu bersamaan dengan kira-kira RM350. Untuk dapatkan lebih, terpaksalah saya tinggalkan kampung halaman.”

Belum sempat saya habis berbual dengan Halidin, dia dipanggil dengan suara keras oleh ‘bos’nya apabila gondola sudah sampai ke tanah. Maka berlarilah Halidin, memasuki gondola dan sebentar kemudian dia sudah ada di puncak bangunan.

Sambil memerhati Halidin dan rakan sekerjanya, si penjual makanan memberitahu saya: “Hanya orang Indonesia yang sanggup bekerja berat seperti itu. Orang kita usah haraplah. Mungkin tiada orang muda kita yang sanggup bekerja dalam panas matahari, menggadai nyawa bagi mendapatkan upah sebanyak itu.”

Benar, melihat Halidin bergerak dari satu kerangka besi ke kerangka lain sungguh mengerikan. Tiada tali yang mengikat tubuhnya. Andai tersilap langkah, atau kerangka besi itu tumbang; pengakhirannya adalah mati seperti diucapkan Halidin. Tetapi demi sesuap nasi, Halidin dan rakannya terus gigih berusaha, bagi mendapatkan upah RM80 yang diberikan pada senja hari.
-Lanh-

Thursday, April 14, 2011

4o nasihat Saidina Ali K.W

Berikut adalah 40 nasihat Saiyidina Ali sebagaimana yang terdapat didalam kitab Nahjul Balagh dan Al-Bayan Wattabyeen r.a.

1. Pendapat seorang tua adalah lebih baik daripada tenaga seorang muda.

2. Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran.

3. Kebesaran seseorang itu bergantung dengan qalbunya yang mana adalah sekeping daging.

4. Mereka yang bersifat pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.

5. Jagailah ibubapa kamu,nescaya anak2mu akan menjagai kamu.

6. Bakhil terhadap apa yang ditangan adalah tidak mempunyai kepercayaan terhadap Allah.

7. Kekayaan seorang bakhil akan turun kepada ahli warisnya atau ke angin. Tidak ada yang terpencil dari seorang yang bakhil.

8. Seorang arif adalah lebih baik daripada arif.Seorang jahat adalah lebih jahat daripada kejahatan.

9. Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan harus dijagai, sedangakan ilmu menjaga kamu.

10. Jagalah harta bendamu dengan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahan mu dengan mendirikan sembahyang.

11. Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam.

12. Mengajar adalah belajar.

13. Berkhairatlah mengikut kemampuan mu dan janganlah kamu jadikan keluargamu hina dan miskin.

14. Insan terbahagi kepada 3 :

1. Mereka yang mengenal Allah.
2. Mereka yang mencari kebenaran.
3. Mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran. (Golongan yang terakhir inilah yang paling rendah dan tak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta seperti kambing.)

15. Insan tak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawadhu’ dan lemah.

16. Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu terhadap Allah.

17. Mereka yang mencari kesilapan dirinya sendiri adalah selamat dari mencari kesilapan orang lain.

18. Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang ia lakukan untuk memperbaiki dirinya.

19. Manusia sebenarnya sedang tidur tetapi akan bangun bila ia mati.

20. Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan akan Al-Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak akan berubah walaupun terbuka rahsia2 kebenaran itu.

21. Allah merahmati mereka yang kenal akan dirinya dan tidak melampaui batas.

22. Sifat seseorang tersembunyi disebalik lidahnya.

23. Seorang yang membantu adalah sayapnya seorang yang meminta.

24. Insan tidur di atas kematian anaknya tetapi tidak tidur di ataskehilangan hartanya.

25. Barangsiapa yang mencari apa yang tidak mengenainya nescaya hilang apa yang mengenainya.

26. Mereka yang mendengar orang yang mengumpat terdiri daripadagolongan mereka yang mengumpat.

27. Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran.

28. Seorang yang hamba kepada syahwatnya adalah seorang yang lebih hina daripada seorang hamba kepada hamba.

29. Orang yang dengki marah kepada orang tidak berdosa.

30. Putus harapan adalah satu kebebasan , mengharap (kepada manusia) adalah suatu kehambaan.

31. Sangkaan seorang yang berakal adalah suatu ramalan.

32. Seorang akan mendapat tauladan di atas apa yang dilihat.

33. Taat kepada perempuan(selain ibu) adalah kejahilan yang paling besar.

34. Kejahatan itu mengumpulkan kecelaan yang memalukan.

35. Jika berharta, berniagalah dengan Allah dengan bersedekah.

36. Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihat apa yang dikatakannya.

37. Tidak ada percintaan dengan sifat yang berpura2.

38. Tidak ada pakaian yang lebih indah daripada keselamatan.

39. Kebiasaan lisan adalah apa yang telah dibiasakannya.

40. Jika kamu telah menguasai musuhmu,maafkanlah mereka, kerana perbuatan itu adalah syukur kepada kejayaan yang telah kamu perolehi.

Sawasya: Penutupan Karam Abu Salim jenayah terhadap kemanusiaan

http://palestinkini.info

Khamis, 14/04/2011 - Pusat Sawasya hak asasi manusia di Palestin menyeru pembentukan sebuah jabatan untuk menilai keadaan kritikal kehidupan di Semenanjung Gaza tujuh hari selepas Israel menutup sempadan penyeberangan Karam Abu Salim.

Kumpulan ini disebut penutupan terminal “jenayah terhadap kemanusiaan dan melanggar hak terhadap konvensyen Gaza serta hak-hak asasi manusia yang paling dasar “.

Bahkan sebenarnya, persimpangan Karam Abu Salim sahaja tidak dapat menampung keperluan penduduk tempatan selepas Israel menutup penyeberangan Karni bulan lepas dan meletakkan semua beban di persimpangan Karam Abu Salim.

Penduduk terpaksa mengambil tindakan tambahan untuk memindahkan barang, menyebabkan harga melonjak kerana kos tambahan untuk pengangkutan.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : syuhada

Monday, April 11, 2011

Penenang Jiwa : Takut kepada Allah





Tanda-tanda diri yang takut kepada Ilahi kelihatan dalam 7 perkara :

1) Lisannya
  • menghindarkan diri daripada berdusta, ghibah (mengumpat), menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap. Malah menyibukkan diri dengan zikir, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmu.

2) Hatinya
  • membuang rasa permusuhan, kebodohan dan hasad dengki terhadap orang lain. Sebagaimana Rasulullah telah bersabda:
"Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu"

3) Pandangannya
  • tidak memandang kepada makanan, minuman, pakaian, dan perkara-perkara lain yang haram. Tidak terpikat kepada dunia tetapi memandangnya dengan mengambil iktibar.
Sabda Rasullullah SAW:

"Barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada hari kiamat"

4) Perutnya
  • perutnya tidak diisi dengan barang yang haram. Sebagaimana sabda Rasullullah SAW:
"Manakala sesuap daripada barang yang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh malaikat di langit dan bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di neraka"

5) Kedua tangannya
  • menggunakan tangannya untuk taat kepada Allah.

6) Langkahnya
  • tidak berjalan untuk maksiat tetapi melangkah untuk taat kepada Allah dan mencari keredhaan Ilahi.
7) Ketaatannya
  • menjadikan ketaatannya semata-mata kerana Allah serta takut pada riak dan munafiq.
Barangsiapa melakukan 7 perkara tersebut, maka dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan oleh Allah SWT :
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air (syurga)"

Rujukan : Penenang Jiwa (Pengubatan & Rawatan), Terjemahan kitab MUKASHAFAH AL-QULUB karya Imam Al-Gazali

* Ingatan buat diri ini yang mudah lupa

Pemakaian tudung cara Kristian


Perhatian Untuk Kaum Hawa, Pemakaian Tudung Cara Kristian.

Pemakaian tudung biarawati telah menjadi fenomena pada masa kini tanpa disedari oleh umat Islam. Fashion tudung ala Biarawati Kristian ini mungkin lahir dari kelekaan umat Islam sendiri. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menjauhi fashion tudung ini dan kembali kepada pemakaian tudung cara orang Islam, dan menunjukkan sikap berhati-hati kita dalam etika pemakaian Islam.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dari golongan mereka" (Hadith riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibn Hibban)
Bagi anda yang memakai tudung seperti gambar di atas, ayuh tinggalkan fashion tersebut. Bagi suami atau bapa yang punyai isteri dan anak yang memakainya, tegahlah mereka. Bagi mereka yang punyai medium untuk menyampaikan mesej ini, sebarluaskan mesej ini untuk manfaat kita semua.
Semoga usaha kecil kita ini mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah taala.
"Berpakaianlah mengikut ajaran Islam"